Thursday, January 20, 2011

tekad~

Aku menahan sebak di dada. Entah kali yang ke berapa aku merenung telefon bimbitku. Seolah-olah terngiang-ngiang perbualanku dengannya. Aku hanya mampu kelu seribu bahasa tanpa jawapan yang dia perlukan. Air mataku menitis. Menangis tanpa suara. Bimbang andainya tangisanku kedengaran olehnya. Aku terpaksa tekad membuat keputusan ini. Keputusan yang aku paham benar akan merobek hatinya. Keputusan yang aku tidak mahu lagi meneruskan hubungan ini. Aku tahu dia akan menyalahkanku. Walaupun keputusan ini dibuat kerana sayangku terhadapnya. Biar dia tidak tahu. Biarkan. Biar aku simpan sendiri. Aku tidak mahu simpati daripada sesiapa. Aku menggenggam telefon bimbitku. Aku memerlukan seseorang untuk mendengar rintihanku. Tak boleh! Aku perlu menghadapinya sendiri. Tangan kutekapkan ke dada. Peritnya menahan sakit yang tidak kelihatan ini. Aku terpaksa demi kebahagiaanya. Aku terpaksa.
Keperitan ini seolah-olah tiada noktah. Berkali-kali jua aku berfikir untuk berubah fikiran untuk meneruskan hubungan ini. Bila difikirkan semula. Aku perlu tekad. Aku tidak layak untuk dirinya. Terlalu banyak perihal diriku yang aku simpan dan aku sembunyikan dari pengetahuannya.
Sekali lagi telefon bimbitku berbunyi. Aku tersentak dari lamunan. Air mata lantas ku seka. Aku memandang skrin telefonku yang sesekali bercahaya mengikut alunan nada dering yang berkumandang. Namun telefon hanya kugenggam. Mana mungkin aku mampu menjawab panggilan dengan keadaan aku yang begini. Nama Shahid jelas terpampang di permukaan skrin. Aku memejamkan mata. Sakit, sebal, mnguasai emosi. Aku menyembamkan mukaku ke bantal. Melayan esakanku yang makin menggila. Aku tidak dapat menafikan amat berat untuk aku teruskan agenda ini. Kejamnya aku kerana melukakan hati yang sangat tulus mencintaiku. Akhirnya aku terlena dalam sendu.